Umum mengetahui bahawa Negeri Perlis terkenal dengan tarikan alam semula jadinya yang susah didapati di negeri lain. Alam semula jadinya yang mempunyai pelbagai bentuk dan nilainya yang tersendiri membuatkan negeri Perlis adalah sebuah negeri yang mesti dilawati oleh para pengunjung yang suka akan ketenangan.
Di sini kami senaraikan 5 tarikan alam semula jadi yang mesti dilawati di Negeri Perlis:
1. Gua Kelam
Gua di dalam filem selalu digambarkan sebagai sesuatu yang menakutkan. Namun, lawatan ke Gua Kelam akan memberitahu anda sebaliknya. Taman reakreasi Gua Kelam merupakan salah satu gua batu kapur yang terletak dalam Banjaran Nakawan dan terkenal dengan sejarahnya iaitu lombong bijih timah.
Terdapat dua bahagian gua di sini iaitu Gua Kelam 1 dan Gua Kelam 2. Di Gua Kelam 1 anda akan disajikan dengan keindahan pelbagai formasi geologi seperti stalaktit dan stalagmit yang pernah anda lihat di dalam filem dan dokumentari. Untuk melintasi gua ini, terdapat satu jambatan kayu yang panjangnya sekitar 370 meter dan lebarnya 8 kaki.

Semasa anda berada di Gua Kelam ini anda akan melihat Jalur Gemilang yang diletakkan di dalam gua tersebut yang panjangnya 1,221.74 meter oleh 106 sukarelawan di Gua Kelam untuk meraikan sambutan Hari Malaysia 2020 dan diiktiraf Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai yang terpanjang di dalam gua di negara Malaysia.
Di Gua Kelam 1 juga tersedia tapak perkhemahan yang dipanggil Tapak Perkhemahan Hujan-Hujan yang dibantu oleh Carabiner Outdoor Training iaitu perunding latihan aktiviti luar yang menyediakan aktiviti seperti senamrobik, repelling, jungle trekking, night walk, compass marching, river crossing, war game dan explorace.
Di Gua Kelam 2 pula terdapat di sebelahnya galeri 3D yang boleh dilawati oleh orang ramai yang menjanjikan pengalaman yang maksima dengan harga yang minima. Di Gua Kelam 2 ini juga menyediakan eksplorasi gua.
Melalui eksplorasi gua ini para pengunjung akan bersama penunjuk jalan yang akan membawa anda ke dalam Gua Kelam 2 melihat pelbagai bentuk stalaktit dan stalagmit yang begitu menakjubkan dan disini kekuatan fizikal anda akan diuji kerana memerlukan anda untuk menyelusuri rungan gua yang kecil dan berair.
Bagi mengetahui bayaran untuk eksplorasi Gua Kelam 2 ini, anda boleh hubungi kami di talian yang kami sertakan di akhir artikel ini.
Info menarik: Pada tahun 1935, pihak Inggeris menggunakan jalan air di Gua Kelam ini sebagai saluran untuk mengangkut bijih timah dari tempat melombong. Menurut sejarah, nama Gua Kelam diberikan oleh para pelombong kerana keadaan yang gelap di dalam gua tersebut. Para pelombong harus menggunakan lampu karbaid untuk menerangi aktiviti melombong tersebut.
Waktu operasi:
· Isnin - Jumaat = 8:00pagi hingga 5:00petang
· Sabtu, Ahad & Cuti umum = 8:00pagi hingga 6:00petang
Bayaran masuk ke Gua Kelam 1:
· Dewasa = RM2.00
· Kanak-kanak = RM1.00
Bayaran sewaan Tapak Perkhemahan Hujan-Hujan:
· Dewasa = RM2.00
· Pelajar = RM1.00
Bayaran masuk ke Galeri 3D:
· Dewasa = RM3.00
· Kanak-kanak = RM2.00
Pengunjung yang ingin masuk ke Gua Kelam 2 ini akan disediakan:
· Topi keselamatan
· Sarung tangan keselamatan
· Lampu kepala / Headlamps
· Kasut but
2. Gua Wang Burma
Gua Wang Burma adalah salah satu tarikan di negeri Perlis yang paling popular untuk penerokaan gua. Kunjungan ke gua ini memerlukan peralatan khas dan pemandu atau renjer yang akan menunjukkan jalan eksplorasi yang menjanjikan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Gua ini mempunyai laluan yang unik dan mengandungi batu kapur stalaktit dan stalagmit yang berusia sekitar 500 juta tahun. Pengunjung yang datang secara berkumpulan, anda harus membayar renjer sebagai panduan untuk menjelajahi gua.
Di Gua Wang Burma 2, anda memerlukan gabungan kekuatan fizikal dan mental serta anda perlu meniarap, merangkak dan berjalan itik menyusup ke lubang gua yang kecil dan di sinilah permulaan untuk pengembaraan anda. Anda perlu bayar permit & daftar di “Visitor Centre” yang terletak di Taman Negeri Perlis.

Apabila anda memasuki Gua Wang Burma 2 ini, anda akan dapat melihat penghuni tetap gua itu iaitu kelawar yang tidur di atas permukaan gua dan pengalaman ini tidak boleh dilupakan. Para pengunjung tidak perlu risau, di Gua Wang Burma ini sudah disediakan dengan semua ciri-ciri keselamatan.
Bagi pengunjung yang inginkan lawatan yang kurang mencabar dan lawatan yang lebih santai, anda boleh ke Gua Wang Burma 1. Di Gua Wang Burma 1 anda akan melihat stalaktit dan stalagmit gergasi yang sudah berusia jutaan tahun dan di sini sudah pasti anda akan merasai pengalaman yang amat mengujakan.
Info menarik: Perkataan “wang” yang selalu digunapakai di negeri Perlis adalah bermaksud “lembah” dalam bahasa Thai, bukannya bermaksud “duit” dalam bahasa Malaysia.
Waktu operasi:
· Dibuka pada setiap hari = 7:00pagi hingga 4:00petang
Bayaran untuk ke penerokaan Gua Wang Burma:
· Permit & jurupandu = RM20.00 (seorang)
Pengunjung yang ingin masuk ke Gua Wang Burma 2 ini akan disediakan:
· Topi keselamatan
· Sarung tangan keselamatan
· Lampu kepala / Headlamps
· Kasut but
3. Tasik Timah Tasoh
Tasik Timah Tasoh adalah takungan yang membekalkan air kepada penduduk dan berfungsi sebagai takungan pencegahan banjir. Di Tasik Timah Tasoh terdapat hentian sebelah yang menyediakan restoran dan chalet untuk pengunjung berehat dan makan. Tempat ini menjadi popular kerana keindahan Empangan Timah Tasoh yang terbuka luas memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini.

Tidak ramai yang mengetahui bahawa di dasar tasik terdapat pertemuan dua sungai iaitu Sungai Tasoh dan Sungai Timah. Pada tahun 2016, terdapat keadaan di mana jalan lama yang hilang dan dilupakan selama 22 tahun yang lalu setelah dipenuhi air kerana pembinaan empangan ini muncul semula. Jalan ini muncul semula setelah air mulai surut kerana fenomena cuaca panas yang melampau ketika itu. Jalan tersebut tidak digunakan oleh penduduk kampung sejak tahun 1994.
Di Tasik Timah Tasoh ini juga membolehkan para pengunjung untuk berehat dan merasai anginnya yang berderu di samping melihat pemandangan air tasik yang luas dan menenangkan. Tarikan terbaru yang terdapat di kawasan ini ialah Tasoh Lake Resort & Retreat yang menyediakan pelbagai tempat untuk pengunjung mengambil gambar, menunggang basikal, berehat dan banyak lagi yang boleh dinikmati oleh pelbagai peringkat umur.

Terdapat juga aktiviti lain seperti menaiki bot dan mengelilingi Tasik Timah Tasoh ini, sudah pasti anda akan mendapat pengalaman yang seronok bersama rakan dan keluarga. Bagi mengetahui bayaran untuk menaiki bot ini, anda boleh hubungi kami di talian yang kami sertakan di akhir artikel ini.
Info menarik: Di dasar empangan Tasik Tasah Tasoh ini, terdapat sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Tasoh yang tenggelam semasa pembinaan empangan dan masih terdapat lagi sisa-sisa rumah Kampung Tasoh tersebut di dasar empangan ini.
Waktu operasi:
· Dibuka pada setiap hari = 24jam
Bayaran masuk ke Tasik Lake Resort & Retreat:
· Sebuah kereta = RM5.00
4. Taman Rekreasi Bukit Ayer
Bosan melihat hutan konkrit yang luas di bandar? Di Perlis anda dapat menikmati keindahan alam semula jadi di Taman Rekreasi Bukit Ayer. Diisi dengan tanaman hijau yang subur dan air terjun yang sejuk semestinya pemandangan yang indah menjadikannya destinasi yang sangat bagus untuk keluarga yang merancang untuk pergi berkhemah serta beristirehat. Sekiranya sungai dan air terjun terlalu ekstrem untuk anda, jangan khawatir kerana terdapat juga kolam buatan manusia yang masih diisi oleh air semula jadi Bukit Ayer yang sejuk dan nyaman serta ruangan mandi untuk kanak-kanak.

Semasa berada di Taman Rekreasi Bukit Ayer ini yang berhampiran dengan hutan dan bukit, tujuan rekreasi tidak menjauhkan diri para pengunjung daripada memiliki lebih dari cukup kemudahan untuk memberikan pengunjung pengalaman yang selesa. Di sini disediakan kemudahan ruangan meletak kenderaan, tandas, surau serta bekalan air paip yang baik.
Bersebelahan Taman Rekreasi Bukit Ayer ini juga terdapat tapak perkhemahan yang membolehkan pengunjung yang datang secara berkumpulan menyewa tapak perkhemahan ini untuk melakukan aktiviti-aktiviti hutan seperti penjelajahan hutan dan aktiviti fizikal yang lain di sekitarnya. Kami menyarankan agar para pengunjung untuk datang pada waktu pagi bagi mengelakkan kesesakan dengan orang ramai. Hal ini lebih memudahkan anda dapat menikmati sepenuhnya keindahan dalam semula jadi di sini sengan selesa dan tenang.

Info menarik: Di Taman Rekreasi Bukit Ayer ini pada waktu malam pastinya lebih nyaman dan aman dengan persekitaran yang jauh dari hiruk-pikuk kota dan aktiviti manusia. Waktu inilah bagus untuk melakukan aktiviti seperti BBQ terutama untuk mereka yang ambil peluang untuk berkhemah di sini.
Waktu operasi:
· Dibuka pada setiap hari = 24jam
Pengunjung yang ingin berkunjung ke Taman Rekreasi Bukit Ayer ini disarankan bawa bersama:
· Baju basahan
· Tikar
Bayaran masuk ke Bukit Ayer:
· Seorang = RM2.00
Bayaran sewaan tapak perkhemahan Bukit Ayer:
· Dewasa = RM4.00
· Kanak-kanak = RM2.00
5. Taman Rimba Herba Perlis
Taman Rimba Herba Perlis kini berfungsi sebagai "muzium etnobotanikal" dan bank genetik bagi sebahagian besar sumber tanaman herba yang terdapat di Malaysia dan juga dipanggil sebagai “muzium hidup” di negeri Perlis.
Asalnya bernama Taman Herba Perlis tetapi sejak tahun 2006, ia telah diubah menjadi Taman Rimba Herba Perlis sesuai dengan persekitaran ekologinya yang menjaga hutan semula jadi. Taman ini dibuka bagi pengunjung yang berminat untuk mengetahui jenis penggunaan ramuan herba tersebut.
Pengunjung dapat melihat sendiri ramuan herba terkenal dalam perubatan masyarakat tempatan seperti Kacip Fatimah, Tongkat Ali, Misai Kucing, dan banyak pokok herba yang sukar dijumpai di tempat lain. Antara aktiviti yang boleh dijalankan di sini adalah lawatan ke denai alam, lawatan ke laman orkid dan jualan pokok terutamanya produk herba dengan harga yang berpatutan.

Selain daripada itu, pengunjung juga boleh mencuba minuman herba yang ditawarkan di sini dan merasai keaslian minuman herba yang baru diproses dan amat bagus untuk kesihatan dalaman kita. Taman Rimba Herba Perlis dibuka setiap hari kepada pengunjung.

Info menarik: Di sini, pengunjung juga dapat merendam kaki mereka dengan minyak herba yang mempunyai banyak khasiat.
Waktu operasi:
· Dibuka setiap hari kecuali hari kelepasan am = 8:00pagi hingga 5:00petang
Bayaran masuk ke Taman Rimba Herba Perlis:
· Dewasa = RM2.00
· Kanak-kanak = RM1.00
Teratak Rawatan Rendaman Minyak Herba di Rimba Herba Perlis:
· Rendaman kaki- RM10.00
· Urutan kaki- RM30.00
Kami juga menyediakan pakej dan promosi menarik untuk percutian ke Perlis. Hubungi +6016 893 0309 atau melalui WhatsApp, klik di link untuk respon segera pihak kami. Kami juga boleh dihubungi melalui email di hello@smartleisuretravels.com untuk info lanjut tentang pakej-pakej yang kami sediakan.
Tentang Kami
Smart Leisure Travels merupakan agensi perlancongan berlesen yang berpangkalan di Sarawak dan juga mempunyai pejabat satelit di Kuala Lumpur. Kami menyediakan perkhidmatan berasaskan perlancongan dalam dan luar negara. Matlamat kami adalah untuk memberikan pengalaman dan percutian yang unik serta sukar dilupakan.
Comments