Tidak lengkap sesuatu perjalanan tanpa gambar, bukan? Instagram merupakan salah satu rangkaian media sosial yang paling popular, terutama bagi mereka yang gemar merakam detik perjalanan mereka. Di negeri Perlis penuh dengan tarikan dan lokasi yang sesuai untuk bergambar terutama untuk para remaja sekarang yang lebih cenderung untuk memuat naik gambar-gambar mereka di media sosial seperti Instagram. Adakah anda masih mencari lokasi fotografi dan 'Instagrammable' terbaik di Perlis? Anda telah sampai di tempat yang betul. Kami telah memilih 10 tempat terbaik untuk penggemar Instagram di Perlis untuk anda.
1. Ladang Bunga Matahari

Bagi sesiapa penggemar bunga matahari dan suka menangkap gambar berlatarbelakangkan bunga-bunga yang cantik amat digalakkan untuk datang ke ladang bunga matahari di Taman Ular dan Reptilia Kangar, Perlis.
Kini anda tidak perlu lagi risau tidak dapat terbang ke negara jiran untuk pergi ke ladang bunga matahari disana kerana di Perlis juga terdapat ladang bunga matahari yang setaraf dengan luar negara seperti di Thailand.
Menjanjikan pengalaman yang menarik dengan deretan bunga matahari yang segar dan cantik di setiap sudut adalah “insta-spot” yang terbaik untuk bergambar. Bagi anda yang datang kesini sudah pasti akan terpegun dengan kecantikan bunga-bunga matahari yang kembang mekar dan cantik.
Bagi mendapatkan gambar yang sempurna di sini, kami sarankan untuk anda untuk datang pada hari yang panas dan cerah kerana bunga matahari akan mekar penuh.
Waktu operasi:
· 9:00 pagi hingga 5:00 petang
Bayaran masuk:
· Dewasa = RM6.00
· Kanak-kanak = RM3.00
2. Ladang Tebu , Chuping Perlis
Lokasi Instagrammable seterusnya ialah Ladang Tebu, Chuping Perlis. Bagi anda yang ingin ke Padang Besar untuk membeli-belah disana, anda boleh merentasi Jalan Chuping dan akan disajikan dengan pemandangan yang seperti tiada penghujung diisi dengan tumbuhan yang menghijau.
Ladang Tebu Chuping, Perlis merupakan ladang tebu yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 8062 hektar. Panorama di sini sangat sesuai untuk mengambil gambar di pelbagai sudut, ramai jurugambar yang menggunakan lokasi ini untuk manjalankan sesi pengambaran seperti mengambil gambar perkahwinan, gambar landskap dan banyak lagi.
Kawasan yang berlatarkan tumbuhan hijau yang luas dan bukit batu kapur yang menawan membuatkan banyak pelancong yang datang ke sini untuk mengambil gambar kenangan dan menjadikan ladang tebu ini sebagai lokasi wajib untuk mengambil gambar jika datang ke negeri Perlis.
Di sini juga terdapat menara tinjau yang memberikan satu pemandangan yang tidak akan dilupakan oleh para pengunjung. Anda juga boleh berjalan kaki masuk ke tengah-tengah deretan pokok tebu ini untuk mengambil gambar yang cantik mengikut kreativiti masing-masing. Keindahan pelbagai jenis pokok yang ada disini membolehkan anda untuk mengambil gambar seakan berada di luar negara.
Waktu operasi:
• 24 jam
Bayaran masuk:
• Percuma
3. Taman Rekreasi Tasik Melati
Tasik Melati merupakan sebuah tasik yang persekitarannya begitu damai, sejuk dan memukau memberikan satu lagi lokasi yang sesuai untuk para “instagrammer” mengambil gambar yang cantik.
Tasik Melati adalah tanah lembap semula jadi dan mempunyai lebih dari 150 pulau pasir yang dapat dilihat di tasik ini. Laluan titi dibina di sekitar tasik untuk membolehkan pengunjung menikmati pemandangan yang menenangkan.
Pemandangan tasik yang tenang disamping senibina pondok dan laluan titi yang unik di sekitar Tasik Melati ini memberikan peluang untuk para pengunjung untuk mengambil gambar yang cantik dan menarik untuk dimuatnaik di media sosial.
Pengunjung boleh melakukan aktiviti seperti menaiki bot kayuh dan mengambil gambar di sekitar tasik dan boleh bergambar bersama keluarga di sini dengan senibina titi yang cantik dengan warna yang menonjol di dalam gambar.
Waktu operasi:
• Dibuka setiap hari (9:00 pagi - 6:00 petang)
Bayaran masuk:
• Percuma
4. Menara Pandang Wang Kelian
Di Wang Kelian Perlis yang merupakan pintu sempadan antara Malaysia-Thailand terdapat menara pandang yang memberikan pemandangan yang terbentang luas di sekitar negeri Perlis. Pemandangan bukit bukau yang menghijau dapat dilihat secara terus melalui menara pandang Wang Kelian ini.

Di menara pandang ini juga membolehkan para pengunjung untuk berkhemah di sini dan bangun diawal pagi untuk melihat panorama matahari terbit yang begitu mengasyikkan. Matahari terbit yang diselangi dengan kabus-kabus putih membuatkan lokasi ini amat berbaloi kepada para jurugambar setelah bemalam disini.
Ketika anda bermalam di menara pandang ini, anda juga boleh melakukan aktiviti “stargazing” dan melihat serakan bintang yang bersinar di angkasa. Keindahan alam yang ada disini boleh dimanfaatkan bagi mendapatkan gambar yang terbaik kerana di sini berlatarbelakangkan bukit bukau, ladang getah dan juga Tasik Timah Tasoh.
Semestinya para pengunjung yang datang kesini akan mendapat gambar yang bernilai tinggi dan berbaloi setelah anda mendaki bukit untuk datang ke menara pandang ini. Untuk sampai kesini, anda boleh memandu kereta, menunggang motosikal atau berbasikal.
Waktu operasi:
• 24 jam
Bayaran masuk:
• Percuma
5. Bukit Jernih
Destinasi seterusnya yang sesuai untuk mengambil gambar adalah di Bukit Jernih. Lanskap yang indah dengan kehijauan yang terdapat di taman rekreasi ini menjadikan ia kawasan kegemaran ramai orang yang ingin beriadah pada hujung minggu dan melakukan aktiviti perkhemahan.
Tidak ramai yang mengetahui bahawa di puncak Bukit Jernih ini merupakan satu lokasi yang bagus untuk bergambar. Bukit Jernih ini berketinggian 200 meter dari paras laut, jadi tidaklah begitu mencabar untuk para jurugambar atau “instagrammer” untuk mendaki sedikit bukit ini bagi mendapatkan gambar yang terbaik dan dimuatnaik di sosial media kelak.
Keindahan puncak Bukit Jernih ini sesuai untuk para “instagrammer” yang ingin mengambil gambar dalam keadaan yang sedikit ekstrem. Ketika berada di puncak semestinya anda akan merasai ketenangan angin berderu di samping melihat kecantikan sawah padi yang hijau.
Bagi anda yang merupakan penggemar kamera DSLR, di Bukit Jernih ini amat sesuai untuk individu seperti anda kerana disini anda akan terpegun dengan pelbagai subjek-subjek yang boleh anda dimasukkan dalam gambar seperti akar-akar pokok yang menjalar di atas tanah, sungai-sungai yang jernih airnya dan mampu menjadikan gambar anda bertambah menarik. Sudah pasti apabila anda pulang meninggalkan tempat ini, anda akan ingin datang kembali ke Bukit Jernih ini pada masa akan datang.
Waktu operasi:
• 24 jam
Bayaran masuk:
• Percuma
6. Empangan Timah Tasoh
Empangan Timah Tasoh adalah empangan utama untuk negeri Perlis. Panorama yang tersedia di sini amat menenangkan dengan keindahan alam semulajadi yang sesuai untuk mengambil gambar serta merekod video.
Di Empangan Timah Tasoh ini juga telah banyak dijadikan sebagai tempat untuk menjalankan pengambaran muzik video penyanyi-penyanyi Malaysia. Sebagai contoh penyanyi Malaysia yang sudah berada di peringkat antarabangsa seperti Yuna dengan lagunya bertajuk “Forevermore” yang mendapat jumlah tontonan sebanyak 2 juta lebih telah melakukan pengambaran muzik videonya di sini.
Kecantikan dan keunikan yang ada di Empangan Timah Tasoh ini telah menarik banyak pihak untuk datang mengambil gambar sehingga dikenali oleh selebriti terkenal. Oleh itu, amatlah sesuai untuk menjadikan tempat ini sebagai lokasi untuk para “instagrammer” mengambil gambar anda.
Anda pasti tidak akan menyesal datang ke Empangan Timah Tasoh ini untuk mengambil gambar kerana banyak sudut dan subjek yang boleh dimasukkan ke dalam gambar anda kelak.
Waktu operasi:
• 24 jam
Bayaran masuk:
• Sebuah kereta = RM5.00
7. Kangar Street Art

Jika anda ke Bandar Kangar, anda boleh ke Kangar Street Art yang terletak bersebelahan CIMB bank Kangar. Disini terdapat lorong yang dahulunya suram tetapi kini sudah ceria dengan lukisan-lukisan yang amat menarik.
Kehebatan lukisan 3D yang ada disini menarik banyak golongan masyarakat untuk datang mengambil gambar seiring dengan tujuan utama Kangar Street Art ini diwujudkan. Lokasi ini amat sesuai untuk anda yang gemar “ber-OOTD” (outfit of the day) kerana disini sudah tersedia ruangan yang selesa untuk mengambil gambar dengan pelbagai jenis lukisan 3D yang menarik mata untuk melihat.
Lukisan yang terdapat disini seperti paparan petani di Perlis pada zaman dahulu dengan sawah padi terbentang, tempat-tempat unik di Perlis seperti Gua Kelam dan juga warisan-warisan lama di Perlis seperti Awang Batil iaitu seni penglipur lara Perlis.
Pengunjung yang datang juga boleh berswafoto sambil menghayati maksud disebalik lukisan-lukisan yang ada disini. Bagi anda yang tidak sempat untuk datang pada siang hari, jangan risau kerana di Kangar Street Art ini juga boleh dilawati pada waktu malam yang disediakan cahaya lampu yang menerangi kiri dan kanan dinding lukisan ini.
Waktu operasi:
• 24 jam
Bayaran masuk:
• Percuma
8. Bukit Tok Dun
Bukit Tok Dun terletak di Ulu Pauh, Perlis yang berhampiran dengan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin adalah lokasi Instagrammable seterusnya. Lokasi ini terkenal dengan aktiviti mendaki yang menyeronokkan.
Bukit Tok Dun terkenal dengan “awan karpet” pagi dan pemandangan matahari terbit yang indah. Pendakian yang hanya mengambil masa pendek di Bukit Tok Dun ini melalui ladang getah menjadikan lokasi ini sesuai untuk para remaja dan pelbagai golongan umur lain untuk mendaki ke puncaknya.
Pendakian yang tidak ekstrem dan anda hampir tidak akan berpeluh. Hujung minggu anda akan terisi disamping datang untuk mengambil gambar dengan pemandangan yang luas terbentang ditemani oleh kehijauan pokok yang menenangkan.
Waktu operasi:
• 24 jam
Bayaran masuk:
• Percuma
Adakah anda pernah mendaki Bukit Tok Dun, Perlis sebelum ini?
Sekiranya belum, tunggu apa lagi? Untuk melihat lebih banyak tempat untuk mendaki atau tempat yang bagus untuk bergambar di Perlis sila hubungi kami di talian +6016 893 0309.
9. Hutan Buluh Madu
Hutan buluh madu ini bukanlah seperti hutan buluh yang lain. Lokasi ini sesuai untuk mengambil gambar dan menenangkan minda dengan melihat kehijauan pokok buluh yang merendang.

Hutan buluh ini tidaklah seperti namanya yang apabila kita mendengarnya pasti menimbulkan kerisauan adakah selamat atau tidak untuk dikunjungi. Jangan risau tempat ini selamat dilawati oleh orang awam.
Hutan Buluh Madu ini merupakan lokasi yang tidak jauh dari Tasoh Lake Resort. Jika anda ingin menuju ke Tasoh Lake Resort, sudah pasti anda akan melihat Hutan Buluh Madu ini di sebelah kanan anda.

Lokasinya yang berada di tepi jalan menuju ke Tasoh Lake Resort dan jalan utama ke Padang Besar memudahkan untuk orang awam mencari dan datang bergambar disini.
Waktu operasi:
• 24 jam
Bayaran masuk:
• Percuma
10. SHAH Stable Felda Chuping
Inginkan pengalaman menunggang kuda dan dalam masa yang sama dapat merakam gambar kenangan yang pasti menarik minat ramai orang? Anda boleh datang ke SHAH Stable di Felda Chuping.
Disini anda dapat mengambil gambar menunggang kuda-kuda yang jinak dengan kehijauan padang rumput yang dijaga rapi. Bagi mereka yang tidak pandai menunggang kuda, tidak perlu risau kerana disini disediakan pakej belajar menunggang kuda untuk pelbagai peringkat umur.
Bagi mereka yang ingin memahat memori indah sewaktu hari perkahwinan juga boleh datang ke SHAH Stable ini dengan pakej bayaran yang berbaloi. Lokasi ini juga sesuai untuk para “instagrammer” yang inginkan sedikit kelainan dalam gambar mereka dengan adanya aktiviti menunggang kuda ini yang akan menarik banyak mata untuk melihat.
Waktu operasi:
• 5:00 petang hingga 7:00 petang
Bayaran masuk:
• Percuma (tidak termasuk pakej menunggang kuda)
Kami juga menyediakan pakej dan promosi menarik untuk percutian ke Perlis. Hubungi +6016 893 0309 atau melalui WhatsApp, klik di link untuk respon segera pihak kami. Kami juga boleh dihubungi melalui email di hello@smartleisuretravels.com untuk info lanjut tentang pakej-pakej yang kami sediakan.
Tentang Kami
Smart Leisure Travels merupakan agensi perlancongan berlesen yang berpangkalan di Sarawak dan juga mempunyai pejabat satelit di Kuala Lumpur. Kami menyediakan perkhidmatan berasaskan perlancongan dalam dan luar negara. Matlamat kami adalah untuk memberikan pengalaman dan percutian yang unik serta sukar dilupakan.
Σχόλια